Ada beberapa syarat umum yang perlu dipenuhi apabila kita ingin memohon jawatan kosong SPA. Di sini saya serta beberapa syarat asas yang perlu ada sebelum syarat-syarat khusus untuk satu-satu skim perkhidmatan.
Warganegara Malaysia
Menurut Perkara 6(1) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Perlantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan) 2005, telah menetapkan bahawa kewarganegaraan merupakan syarat kelayakan mandatori untuk berkhidmat di sektor awam bagi perlantikan tetap. Ia merupakan syarat utama yang mesti dipatuhi sama ada di peringkat persekutuan, negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan. Jika ada mana-mana calon yang memiliki dua kerakyatan, beliau sebenarnya tidak memenuhi syarat-syarat mandatori untuk dilantik ke jawatan kosong SPA.
Sihat Tubuh Badan
Tahap kesihatan anda mestilah diperakui oleh Pengamal Perubatan Berdaftar. Mengikut peraturan yang ada, jika anda menghadapi penyakit-penyakit tertentu ataupun dikategorikan sebagai kurang sihat tetapi masih mampu menjalankan tugas-tugas ringan, anda boleh diperakui oleh pegawai perubatan berkenaan untuk dilantik. Walau bagaimanapun, ia terpulang kepada Pihak Berkuasa Melantik yang berkenaan menyesuaikan tahap kesihatan anda dengan beban tugas dan persekitaran kerja anda.
Tidak Mempunyai Rekod Jenayah
Sila pastikan bahawa anda benar-benar bebas dari sebarang rekod jenayah jika ingin berkhidmat dalam kerja kosong kerajaan. Jika anda cuba menyembunyikannya , lambat laun masa silam anda akan dapat dikesan. Ia termasuk rekod jenayah syariah seperti khalwat, zina, minum arak, berjudi dan bukannya mal atau kekeluargaan seperti cerai, taklik, hadanah atau sebagainya.
Tidak Pernah Dibuang Kerja Kerajaan SPA
Jika anda pernah berkhidmat dengan kerajaan sebelum ini dan telah dibuang kerja, anda tidak akan diterima kerja semula. Ada beberapa kesalahan berat yang membolehkan hukuman buang kerja itu dikenakan kepada seseorang penjawat awam seperti:
a) Tidak taat setia kepada negara dan perkhidmatan awam termasuk menjadi pembelot.
b) Terlalu membelakangkan kewajipan awam.
c) Ingkar perintah dan menghalang tugas termasuk penentangan tugas secara nyata.
d) Tidak hadir kerja, 7 hari berturut-turut dengan tanpa kebenaran.
e) Sabitan di Mahkamah Jenayah atas perbuatan jenayah berat seperti rasuah, pecah amanah, merompak, merogol dan sebagainya.
f) Meninggalkan negara semasa ditahan kerja atau digantung kerja.
g) Membocorkan rahsia kerajaan dan negara kepada ejen subversif dan negara musuh.
Keadaan bahawa anda pernah kerja kerajaan dan telah berhenti, anda juga tidak akan dipertimbangkan untuk dapat jawatan yang baru dalam sektor awam.
Bukan Penagih Dadah
Prosedur pengesanan seseorang calon itu sama ada beliau seorang penagih dadah atau tidak, akan dibuat semasa pemeriksaan kesihatan. Anda akan melalui proses saringan atau ujian air kencing.
Bukan Seorang Bankrap
Takrif bankrap ialah apabila pengisytiharan dibuat di Mahkamah Tinggi kerana gagal melunaskan tanggungan hutang yang telah pun diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.
Umur Minima 18 Tahun
Untuk semua jenis perkhidmatan, umur minima bagi seseorang warganegara yang ingin memohon sebarang pekerjaan adalah 18 tahun pada tarikh tutup permohonan.
Apa yang saya nyatakan di atas adalah syarat-syarat asas untuk anda memohon jawatan di sektor awam. Jika ada yang kurang maka peluang anda untuk dapat jawatan kosong SPA adalah sangat gelap.
Terbaik
Patut dikongsi